.jpg)
Ini
adalah pesanan Dr. Khalil al Hayya mewakili HAMAS di Pelestin untuk umat Islam
di Malaysia. Pesanan ini diterjemahkan oleh Maszlee Malik (penulis buku
"Hamas: Pejuang kota suci BaitulMaqdis") atas permintaan Dr. Khalil.
Mohon
agar sahabat sekalian menyebarkannya sama ada melaui blog atau cetakan
berkenaan Pesanan ini kerana ianya mengandungi rintihan, harapan, perkongsian
dan rayuan daripada saudara kita di Palestin. Semoga pesanan ini memberi secebis
kesedaran kepada kita.
Alhamdulillah,
Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi
menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh Allah bagi
mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh Allah
dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Kami juga dipilih oleh Allah bagi mewakili
umat Islam di seluruh dunia supaya menjadi benteng pertahanan kepada Al-Aqsa,
kiblat pertama umat Islam dan juga masjid suci ketiga. Kami juga dipilih oleh
Allah supaya menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan berbanding
kehidupan dunia.
Selama
lebih 60 tahun kami hidup di medan pertempuran. Selama tempoh itu juga kami
dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa? Hanya kerana
kami mengucapkan la ilaha ilallah dan kerana kami mempertahankan bumi serta
masjid kami.
Pelbagai
bentuk kesengsaraan sudah dilalui oleh rakyat Palestin. Pengusiran dari rumah,
kampung halaman dan juga tanah air. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom,
dibantai, disembelih dan pelbagai perbuatan tidak bertamadum yang dapat
disenaraikan, sudah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di
Palestin tetap sabar dan komited supaya terus kekal dan mempertahankan tanah
air mereka. Ia adalah jihad, kemulian dan bukti yang kami ingin bawa sebagai
mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami.
.jpg)
Semasa
detik-detik awal penjajahan, kami, saudara anda daripada gerakan Islam menjadi
barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam dibantai oleh
penjajah. Walau bagaimanapun, pembantaian itu tidak cukup bagi melemahkan kami.
Sehingga zaman Jamal Abdul Naser, seperti mana saudara-saudara kita di Mesir
dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh itu, gerakan Islam
terpaksa kembali ke bawah tanah. Kami menumpukan usaha membina semula struktur
perjuangan. Usaha PENDIDIKAN, DAKWAH, TARBIAH, dan KEBAJIKAN menjadi agenda
utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehingga pada
pertengahan 80-an apabila arus sekular mula jemu dengan perjuangan. Semasa arus
sekular yang asalnya memandu perjuangan rakyat Palestin mula lesu, kami mula
memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami
berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami berteraskan Islam dan
kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar memerdekakan
sekeping tanah, tetapi bagi memandu kebangkitan semua umat Islam dan
meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.
Semenjak
hari pertama penubuhannya, HAMAS menjadikan jihad sebagai jalan utama bagi
memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga menjadikan Islam sebagai landasan
perjuangannya. HAMAS juga memberikan nyawa ahli-ahli mereka bagi tujuan itu dan
berjanji pada rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam supaya terus komited
dengan perjuangan kami. HAMAS juga berjanji hendak memerdekakan Masjid Al-Aqsa
walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.
Setelah
hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan HAMAS.
Kami diberi kepercayaan oleh rakyat bagi memerintah mereka. Kemenangan ini
walaupun indah, namun ia adalah ujian yang getir bagi kami. Kemenangan itu
adalah era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambahka satu lagi ruang
dalam perjuangan kami iaitu POLITIK PEMERINTAHAN. Semakin bertambah beban,
semakin tinggi pengorbanan kami.
Buat
umat Islam di Malaysia, kalian adalah saudara kami yang paling hampir di
Malaysia. Hati-hati kita sudah diikat dengan FIKRAH dan AKIDAH yang sama. Kita
dihimpunkan dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita ditakdirkan bersama dalam
perjuangan dengan MANHAJ atau TUJUAN yang sama. Kami adalah wakil saudara di
Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan saudara. Pemerintahan kami adalah
pemerintahan saudara. Kerajaan HAMAS ialah kerajaan umat Islam di seluruh
dunia. Tidakkah saudara sedar akan perkara ini? Jika saudara tidak sedarkan
perkara ini, siapa lagi yang akan menyedarkannya?
Umat
Islam di Malaysia sekalian, menjadi pemerintah tidak mudah. Apatah lagi
memerintah dalam fasa penjajahan dan peperangan. Ditambah pula apabila
pemerintah hanya memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan
kedaulatannya serta memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan
penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Manakala
pemerintahan itu sebenarnya mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan
beban hutang sebanyak USD3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti
kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh
HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili saudara semua di
seluruh dunia.

Sehingga
kini, para pegawai kerajaan termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak
3 bulan yang lalu. Tahap penganguran mencapai 31% di Gaza dan Tebing Barat.
Bekalan makanan dan petrol semakin berkurangan. Baru-baru ini, tiga orang bayi
meninggal di hospital berdekatan Gaza kerana tiada ubat-ubatan yang mencukupi.
Pelajar-pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan kerana kehabisan kertas di
sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Malah persidangan Parlimen kami di
Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.
Mengapa
semua ini berlaku? Ia kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atas rakyat
Palestin oleh Rejim Zionis, AS dan EU. Tekanan yang dikenakan hanya kerana
rakyat Palestin memilih calon yang rakyat inginkan dalam pilihan raya yang
lalu. Tekanan dikenakan kerana kami enggan mematuhi ugutan mereka supaya
mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin
mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah
tekanan ini akan berakhir?
Wang
hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD55 juta sebulan tidak pernah
dipulangkan kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis mengambilnya dan mereka tidak
pernah dipaksa supaya memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang
dapat memaksa rejim Zionis supaya memulangkannya. Mereka juga menutup laluan
udara, darat dan laut Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis
kerana perjanjian yang disepertujui oleh kerajaan sebelum ini.
Walau
bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua. Kami yakin, saudara seIslam
kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seAkidah kami dapat
menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami juga yakin saudara
seAkidah kami di seluruh dunia dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak
bergantung pada bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi
daripada regin Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di
manakah mereka di saat kami memerlukan mereka?
Wahai
umat Islam di Malaysia! Kami mengharapkan anda mengepalai kempen menyelamatkan
kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunya dua pilihan.
PERTAMANYA, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel bagi
menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang KEDUA adalah teruskan berjuang
dan tidak sekali-kali tunduk pada tekanan. Kami memilih pilihan yang kedua.
Kami akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kami tidak akan
sekali-kali mengiktiraf penjajah dan tunduk pada tekanan. Malangnya rakyat
Palestin hanya mampu bertahan selama enam bulan,. Setiap hari rakyat mengadakan
perarakan menyokong kerajaan dan menggesa kerajaan HAMAS tidak tunduk pada
tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila? Perut
mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit
tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan saudara bagi melakukannya. Sanggupkan
saudara melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?
Umat
Islam di Malaysia sekalian, kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap
dalam perjuangan sehingga setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan
terus memastikan prinsip Islam terus dijulang. Namun, kami memerlukan sokongan
dan bantuan kalian.
Jika
kami gugur syahid manakala saudara sekalian terus diam membisu dan hanya
menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut daripada Allah
atas kelembapan saudara semua. Kami tidak akan redha pada kelesuan dan kebisuan
kalian. Kami tidak akan memaafkannya.
Umat
Islam di Malaysia, kami mengharapkan saudara bersikap proaktif. Kami hanya
mengharapkan saudara dapat menyumbang USD1 (bersamaan RM3.60) setahun bagi
menanggung kesengsaraan rakyat Palestin. Kami juga mengharapakn saudara melobi
kerajaan saudara yang menjadi Pengerusi OIC supaya melakukan sesuatu.
Kami
juga berharap saudara melakukan kempen kesedaran dan libatkan masyarakat
Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam supaya turut membantu
rakyat Palestin. Kami juga ingin melihat saudara menjadi juara di peringkat
antarabangsa dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media saudara dengan isu
Palestin dan Al-Aqsa. Halakan mereka ke arah menyokong perjuangan rakyat
Palestin. Kepalailah usaha serantau bagi tujuan itu, saudaralah harapan kami.
Akhir
sekali, kami mengharapkan saudara tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara
sekalain. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati
syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid
Al-Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu, bendera Islam akan berkibar dan
syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.
Allahu
Akbar!
Saudaramu,
Khalil
Ismail al-Hayya
Ketua
WHIP HAMAS di Majlis Legislatif Palestin