Khutbah
haji yang disampaikan oleh Rasulullah dengan penuh syahdu di Padang Arafah
ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’ bersama dengan lebih kurang 124ribu para
sahabat sebelum kewafatan Baginda. Berikut adalah petikan khutbah haji wida’
Baginda Rasulullah S.A.W yang menjadi pedoman hidup seluruh umat Islam akhir
zaman.
v Wahai manusia,
sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah
jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.
v Kembalikan harta
yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
v Janganlah kamu
sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi
v Ingatlah bahawa
sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas
segala amalan kamu.
v Allah telah
mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai
sekarang.
v Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu
tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
v Wahai manusia,
sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak
diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka
juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka
kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak
kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang
kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
v Wahai manusia,
dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah
sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah
zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu
semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali
dalam takwa dan beramal soleh.
v Ingatlah, bahawa
kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas
segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali
kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
v Wahai manusia,
tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.
v Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan
mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
Al-Quran dan Sunnahku.
Marilah kita
berazam untuk taat perintah Allah dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi
Muhammad S.A.W untuk kejayaan di dunia dan akhirat.
(Sumber: http://denaihati.com)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan