Dalam sebuah hadis yang sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata, Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).
Adakah ayat ini
bermaksud bahawa wanita secara umumnya dijadikan oleh Allah daripada tulang
rusuk lelaki? Sebenarnya,di dalam A-Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia
sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur
dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung
dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan “Wahai manusia apabila
kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu dari tanah , dan
kemudian daripada nutfah.
Oleh kerana kenyataan
Al-Quran berhubung dengan kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak
dapat mencanggahinya. Jesteru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari
tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dari bentuk yang mencanggahi
Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan asal-usul kejadian
wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan
baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus Solihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini
di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.
Di dalam kitab Dalilul
Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas
dan keadaan seperti tulang rusuk,” dan bukan dicipta dari tulang rusuk. Dalam
bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam bengkok adalah berbeza daripada
tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza dari kaum lelaki. Perbezaan ini
mempunyai kepentingannya jesteru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana
berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia menghadapi masalah. Begitu juga
dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak sempurna. Kaum wanita adalah cantik
dalam keadaan semulajadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza
dari kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semulajadinya
dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati
wanita dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada
peranannya dan kadang kala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan
peranan tidak melambangkan kehinaan.
Berbalik kepada isu
berkaitan kejadian kaum hawa daripada tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian
ulama berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan hawa secara khusus. Mengikut
pandangan mereka, hawa berasal daripada tulang rusuk Adam. Antara ulama yang
berpegang dengan pandangan ini ialah sahabat Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin
Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir, Ibnu Humaid dan ramai lagi. Namun,
apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara ini, kita tidak menemui sebarang
dalil yang menyokong pandangan ini. Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian
Hawa, dalam surah An-Nisa’ ayat 1 Allah menjelaskan dengan bermaksud, “Wahai
manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu
Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada
kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.” Dalam
ayat ini dan yang seumpamanya kejadian hawa tidak langsung dikaitkan dengan
tulang rusuk Nabi Adam.
Sebenarnya, Al-Quran
lebih mementingkan supaya kualiti dan maruah wanita dipelihara dan tidak
diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Dalam islam wanita dan lelaki adalah
sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba Allah. Sekiranya seorang wanita beriman
dan beramal soleh dia diberi ganjaran yang tinggi dan diletakkan di tempat yang
tinggi. Dalam surah Al-Imran ayat 195, Allah menyatakan yang bermaksud,
“Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu
baik dia lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan daripada
sebahagian yang lain.”
Tambahan daripada itu,
Allah tidak pernah menghina ataupun memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan
jantinanya. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya. Berhubung
dengan ini, dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya
yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa
antara kamu,” Hal ini adalah utama untuk difahami dan dihayati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan